FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

LEBIH 452,000 pengguna di tiga lebuh raya iaitu Lebuhraya Shah Alam (LSA), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya SMART bakal menikmati diskaun kadar tol sempena Tahun Baharu Cina.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Trans Kota Holdings Berhad (LITRAK) Stephen Low Chee Weng berkata, pemberian diskaun antara 10 dan 30 peratus itu akan bermula 12 tengah malam sehingga 11.59 malam Selasa ini.

“Diskaun ini antara inisiatif kami dalam mengurangkan beban pengguna sempena Tahun Baharu Cina.

“Secara keseluruhan, jumlah anggaran diskaun kadar tol ini adalah RM221,500,” katanya pada sidang media pengumuman diskaun berkenaan, di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi SMART Sdn Bhd, Sharifah Alauyah Wan Othman dan Ketua Pegawai Operasi KESAS Sdn Bhd, Mohammed Shah Samin.

Stephen berkata, pengguna kenderaan Kelas 1 di lebuh raya LSA akan menikmati diskaun 10 peratus (RM0.20) manakala 70 sen ditawarkan kepada pengguna LDP.

Pengguna Lebuhraya SMART pula akan menikmati 10 peratus atau pengurangan RM0.30 diskaun bagi kenderaan Kelas 1 dan 4 sepanjang tempoh itu.

Terdahulu, beliau meraikan 57 kanak-kanak kurang bernasib baik daripada Rumah Charis dan Rumah Victory, Kuala Lumpur dengan menonton wayang dan pemberian ‘angpow’.

Dua rumah kebajikan itu turut menerima sumbangan kewangan RM1,000 bagi membantu mengurangkan beban kos operasi mereka terutama menjelang Tahun Baharu Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 4:00 PM