JAMBATAN Pulau Pinang. FOTO Arkib NSTP
JAMBATAN Pulau Pinang. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


KERAJAAN Pulau Pinang akan mengemukakan surat bertulis kepada pengendali Jambatan Pulau Pinang, PLUS (M) Berhad berhubung cadangan mengkaji penghadang laluan di jambatan berkenaan.

Ketua Menterinya Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri amat prihatin terhadap beberapa kejadian yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang, termasuk kes bunuh diri yang sering dilaporkan media.

“Jambatan Pulau Pinang adalah membabitkan pemilikan oleh agensi Pusat, oleh yang demikian kita cuma mampu beri pandangan sahaja.

“Justeru, kita akan susuli dengan surat rasmi supaya mereka boleh kaji semula sama ada penghadang sedia ada cukup bagi menghadang kenderaan daripada terbabas dan jatuh ke dalam laut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown, hari ini.

Chow diminta mengulas kejadian kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 yang terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan bersama Toyota Vios yang dipandu secara berbahaya dan melulu.

Kemalangan pada awal pagi Ahad itu menyebabkan pemandu SUV berkenaan, Moey Yun Peng, 20, maut akibat lemas, manakala pemandu Toyota Vios yang juga rakan mendiang, hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Kon Yeow turut berharap Kementerian Pendidikan dapat memberi penekanan berhubung pendidikan menangani tekanan dan stress, bagi mengurangkan kes bunuh diri.

“Mengenai kejadian bunuh diri, sepatutnya kita perlu beri fokus kepada pendidikan moral dan agama di peringkat sekolah, bagi membantu menangani tekanan hidup.

“Kejadian bunuh diri tidak boleh dikuat kuasakan dengan undang-undang kerana ia sesuatu yang tidak boleh dikawal, tetapi kita boleh membantu menerusi pendidikan supaya jumlahnya tidak meningkat,” katanya.

Semalam, dalam kesibukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjalankan kerja-kerja menaikkan SUV yang terjunam ke laut di Jambatan Pulau Pinang, seorang lelaki bertindak terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan berjaya diselamatkan oleh bot nelayan yang berada di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 6:21 PM