Nelayan Myanmar yang menceroboh perairan negara. FOTO Ihsan Maritim Malaysia.
Nelayan Myanmar yang menceroboh perairan negara. FOTO Ihsan Maritim Malaysia.
Hamzah Osman

EMPAT nelayan warga Myanmar yang leka mengaut hasil laut di perairan berdekatan Pulau Langkawi ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Mereka berusia 28 hingga 43 tahun itu ditahan di kedudukan lapan batu nautika barat Pulau Rebak pada 6.35 petang semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Kedah/Perlis, Laksamana Pertama (M) Rozali Mohd Said berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan daripada komuniti maritim mengenai kegiatan nelayan berkenan.

Katanya, ketika ditahan, mereka yang menaiki sebuah bot sedang leka menangkap ikan menggunakan pukat jenis rawai yang ada 500 bilah.

“Pemeriksaan mendapati kesemua warga Myanmar itu memiliki kad UNHCR dan tiada permit kerja yang sah.

“Turut ditemui hasil tangkapan ikan berjumlah 10 kilogram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tahanan dan rampasan dibawa ke pangkalan Maritim Malaysia di Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Beliau mengalu-alukan kerjasama orang ramai dalam melaporkan aktiviti menyalahi undang-undang dengan laporan boleh disalur menerusi talian MERS 999 mahupun Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 8:41 PM