Shaarani Ismail


CALON Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran mendakwa tidak mengetahui dakwaan wujud kegiatan memberi wang membabitkan petugas PH kepada Orang Asli seperti yang tersebar di media sosial.

“Saya tiada di sana dan saya hanya mengetahui dakwaan itu (pemberian wang) pagi ini.

“Saya hanya akan memberikan maklum balas selepas ini kerana saya perlu siasat dakwaan itu terlebih dulu, berikan saya sedikit masa untuk menelitinya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kampung Orang Asli Sungai Relong di Pos Mensun dekat Ringlet, Cameron Hihglands, hari ini.

Manogaran berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan berlakunya pemberian wang oleh PH kepada sukarelawan Orang Asli selepas tamat proses penamaan calon semalam sebagaimana yang tular di media sosial.

Beberapa keping gambar tular di media sosial sejak pagi hari ini menunjukkan seorang wanita mengenakan baju PH sedang memberi wang dipercayai kepada penduduk Orang Asli di Cameron Highlands.

Ditanya sama ada wang berkenaan datang daripada beliau selaku calon PH, beliau mendakwa tidak tahu menahu dan menafikan ia datang daripadanya.

“Bukan saya (yang mengarahkan pemberian wang), berikan saya sedikit masa.

“Ia (pemberian wang) didakwa berlaku selepas proses penamaan calon dan saya tak boleh cakap apa-apa lagi mengenainya sekarang,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet, berkata wang diagihkan melalui gambar tular itu adalah wang pembayaran balik bagi menampung kos petrol kepada sukarelawan PH datang dengan motosikal sendiri dari rumah mereka di kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon.

Katanya, pembayaran balik wang itu akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya.

“Semuanya dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan DAP sebagai rakan komponen PH percaya kepada satu pilihan raya yang bersih dan telus dan kami akan terus memegang prinsip ini dalam kempen kami,” katanya dalam kenyataan sebagai maklum balas terhadap dakwaan itu.

Berikutan kejadian itu, satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat pemuda Barisan Nasional (BN) petang ini.

Selain itu, laporan polis turut dibuat sayap pemuda UMNO Pahang di Balai Polis Sungai Koyan dan satu lagi laporan polis dibuat Pemuda MIC Kebangsaan di Balai Polis Tanah Rata berhubung dakwaan sama.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 8:00 PM
    MANOGARAN (tengah) beramah mesra dengan penduduk Orang Asli ketika tinjauan mesra di Kampung Orang Asli Sungai Relong, Pos Mensun, Cameron Highlands.  FOTO Aizuddin Saad.
    MANOGARAN (tengah) beramah mesra dengan penduduk Orang Asli ketika tinjauan mesra di Kampung Orang Asli Sungai Relong, Pos Mensun, Cameron Highlands. FOTO Aizuddin Saad.