RAKAMAN CCTV seorang suspek kes pecah tabung masjid. FOTO ihsan polis
RAKAMAN CCTV seorang suspek kes pecah tabung masjid. FOTO ihsan polis
Shamsul Munir Safini


DUA lelaki yang aktif memecah masuk masjid di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU), Butterworth diberkas polis di dua lokasi berasingan di Sungai Petani, Kedah, jam 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 30 tahun ditahan susulan cubaan pecah masjid di Pinang Tunggal, Kepala Batas.

Beliau berkata, dalam kejadian 23 Oktober tahun lalu itu, aksi mereka yang gagal memecah masuk masjid berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ia tular di media sosial.

Katanya, kejadian itu disedari petugas masjid yang mendapati pintu kaca di situ pecah namun usaha mereka itu gagal.

“Hasil siasatan, kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu selain turut memecah tabung di beberapa surau dan masjid di daerah SPU.

“Ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada mereka positif syabu selain kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 453 dan 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 4:16 PM