NAJIB.
NAJIB.
Idris Musa


SELEPAS mengkritik kenaikan berganda sewa kuarters Perbadanan Putrajaya (PPj), bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi membuat hantaran mengenai isu sama di Facebook beliau, hari ini.

Namun kali ini, ia mengenai penarikan balik keputusan untuk menaikkan kadar sewa terbabit.

“Semalam, saya kongsi pendedahan dari saudara Isham Jalil tentang kenaikan berganda sewa kuarters Putrajaya dari RM400 sebulan kepada RM800 sebulan.

“Pagi ini, syarikat milik kerajaan itu sudah menarik balik keputusan itu. U-turn lagi. Tetapi U-turn kali ini saya sambut baik,” katanya.

Beliau turut memuat naik kenyataan media Presiden PPj Datuk Dr Aminuddin Hassim mengenai keputusan tidak menaikkan kadar sewa terbabit.

Menurut kenyataan itu, kadar sewa kuarters blok F dan G milik PPj di Presint 11 Putrajaya tidak dinaikkan kerana tidak sesuai dilaksanakan dalam keadaan semasa.

Perkara berkenaan diputuskan selepas PPj berbincang dengan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Dalam hantaran semalam, Najib berkata, “sekiranya perlu dinaikkan, naikkanlah sedikit demi sedikit, jangan digandakan serta-merta sehingga tidak dapat bernafas”.

Beliau turut mengingatkan, penyewa kuarters di situ juga adalah penjawat awam dan pekerja kerajaan.

Selanjutnya, Najib berkata, beliau berharap boleh dilakukan satu kali lagi pusingan-U, membenarkan kenaikan satu gaji tahunan untuk penjawat awam.

“Harap juga boleh U-turn satu kali lagi dan membenarkan kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam yang sepatutnya berlaku pada 1 Julai tahun lepas jika BN (Barisan Nasional) menang tetapi telah dibatalkan oleh PH (Pakatan Harapan),” katanya.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-16, 4 April tahun lalu, Najib mengumumkan pemberian kenaikan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan (KGT) kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, kerajaan Barisan Nasional tumbang, digantikan dengan kerajaan PH, sekali gus menyebabkan pengumuman itu tidak tertunai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 3:04 PM