Petah Wazzan Iskandar

ANGGOTA bomba dan penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, menerima kenaikan pangkat secara ‘Posthumus’ (kenaikan pangkat) dari gred KB19 ke KB22, serta-merta.

Selain itu, keluarga Allahyarham akan menerima pampasan dari caruman yang dibuat sebanyak RM255,000 yang akan diuruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek, menegaskan keputusan terbabit bagi meringankan beban keluarga Alahyarham dari segi kenaikan pencen.

Katanya, keputusan ini dibuat selepas kerajaan dan kementerian melihat perlunya kenaikan terbabit bagi mengiktiraf jasa Allahyarham.

“Pemergian Allahyarham yang sudah bertugas lebih empat tahun amat menyedihkan kerana pengorbanan dan keberanian ketika menjalankan tugas dengan mengenepikan keselamatan diri hingga mengalami kecederaan ketika bertugas.

“Kerajaan juga akan menyegerakan pampasan supaya bebanan yang ditanggung keluarga dapat diringankan,” katanya pada sidang media selepas upacara pengkebumian jenazah Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As Saadah Kampung Tebengau, Kuala Kedah di Alor Setar hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof berkata, jabatannya akan meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika berdepan situasi rusuhan bagi mengenal pasti sebarang risiko supaya kejadian yang menimpa Muhammad Adib tidak berlaku lagi.

“Kita sudahpun mempunyai SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun akan ditelitikan lebih terperinci supaya lebih efektif,” katanya.

Terdahulu, lebih 1,000 penduduk kampung termasuk keluarga dan serta aggota dan pegawai bomba hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Muhammad Adib sejak jam 7 pagi.

Jenazah Muhammad Adib diterbangkan menggunakan helikopter MI17-IV JBPM dan tiba padang Sekolah Kebangsaan Kampung Tebengau, di sini, 10.35 pagi, selepas diterbangkan

Perjalanan yang memakan masa dua jam itu selepas jenazah yang ditemani ibu bapanya dan tunangnya, Nurul Najihah Mohd Rodzi diterbangkan bersama keluarganya di Pangkalan Udara Subang, Selangor jam 7.55 pagi selepas menjalani bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur.

Jenazah yang diuruskan mengikut istiadat kebombaan dimana seramai 200 anggota dan pegawai berpakaian uniform lengkap bersongkok akan mengiringi jenazah sehingga ke rumah ibu bapanya di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini terlebih dahulu untuk penghormatan terakhir.

Solat jenazah juga akan diimamkan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang manakala bacaan talkin disempurnakan Imam masjid, Zainuddin Hassan dan dibantu Timbalan Pengerusi masjid, Abdul Wahab Chik.

Sebelum ini media melaporkan, Muhammad Adib parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam, di Institut Jantung Negara (IJN)

Allahyarham dipindahkan ke IJN selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang perusuh susulan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 6:15 PM
Nama Allahyarham yang tertera di papan senarai pegawai dan aggota yang bertugas di Balai Bomba Subang Jaya kini menjadi kenangan. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Nama Allahyarham yang tertera di papan senarai pegawai dan aggota yang bertugas di Balai Bomba Subang Jaya kini menjadi kenangan. FOTO Muhd Zaaba Zakeria