Mohd Azam Shah Yaacob


‘BOY TIGER’, suspek utama kes dera anak lelaki tiri berusia tiga tahun sehingga mangsa mati, dijangka dituduh di Mahkamah Ampang, esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, tetapi tidak mengulas lanjut.

Pada masa sama katanya, isteri lelaki berkenaan yang juga ibu kandung kepada mangsa akan menjadi saksi kes.

Sebelum ini, wanita berusia 20-an itu ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan, tetapi dibebaskan hari ini.

“Wanita itu dibebaskan dengan bon, namun dijadikan saksi terhadap kes kematian kanak-kanak itu,” katanya.

Sebelum ini, Boy Tiger dan wanita berkenaan ditahan reman bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak berkenaan.

Pada kejadian 8 November lalu, kedua-duanya melarikan diri selepas menghantar mangsa, Muhammad Khairil Akmal Abdul Rahman, ke Hospital Ampang.

Ia selepas pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak berkenaan sudah meninggal dunia, dipercayai didera.

Kedua-duanya kemudian ditahan polis di Hospital Kajang pada 12 November lalu.

Ketika itu, Boy Tiger dikatakan melawat isterinya di hospital berkenaan yang mendapatkan rawatan selepas melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah rumah inap di Hulu Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 10:50 PM