ANTARA papan tanda dalam Bahasa Cina di Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
ANTARA papan tanda dalam Bahasa Cina di Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir
Faliq Lajim


SEBANYAK 45 unit papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Bahasa Cina sudah diturunkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kerja menurunkan papan tanda jalan yang mempunyai tulisan bahasa Cina sudah selesai dijalankan semalam.

“Sebanyak 45 unit papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Bahasa Cina sudah ditanggalkan.

“Kerja pemasangan papan tanda jalan yang hanya mempunyai Bahasa Melayu akan dipasang dalam masa terdekat ini secara berperingkat-peringkat.

“Ia dijangka selesai dipasang pada penghujung bulan November ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, MBSA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menyelesaikan kerja menurunkan papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Bahasa Cina di sekitar Shah Alam, dalam tempoh terdekat.

Ia susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Bahasa Cina itu digantikan dengan papan tanda yang memaparkan Bahasa Melayu sahaja.

Baru-baru ini, netizen mempersoalkan isu mengenai penggunaan tulisan Bahasa Cina pada papan tanda nama jalan di sekitar Kampung Melayu Subang, di Shah Alam.

Perkara itu menjadi tular apabila dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook berserta beberapa gambar papan tanda di kawasan terbabit yang dilengkapi tulisan berkenaan.

Ia turut dilaporkan beberapa media tempatan yang mendapat maklum balas seorang EXCO kerajaan negeri mengenai kebenaran dan kelulusan papan tanda itu di kawasan berkenaan.

Selain itu, seorang aktivis masyarakat juga mempersoalkan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang seolah-olah tidak mempunyai kuasa dalam proses kelulusan penggunaan bahasa pada papan tanda di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 6:53 PM