PEMANDANGAN Bukit Bendera di Georgetown. FOTO Arkib NSTP
PEMANDANGAN Bukit Bendera di Georgetown. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Yusri Muzamir


DUA buah hotel akan dibina di puncak Bukit Bendera, Georgetown bagi memenuhi keperluan orang ramai yang mengunjungi kawasan peranginan berkenaan menjelang tahun hadapan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, ia masing-masing terletak di belakang Banglo Convalescent dan di lereng bukit di lembah berhampiran kafe di Laluan Kuli dekat puncak kawasan peranginan itu.

Katanya, cadangan pembinaan hotel di belakang Banglo Convalescent kini di peringkat cadangan reka bentuk dengan ia akan dibina mengikut garis panduan ditetapkan dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK).

“Hotel lima tingkat dengan kapasiti kira-kira 200 bilik akan dibina di belakang Banglo Convalescent, menjelang tahun hadapan dan ia tak boleh dibina melebihi ketinggian ditetapkan (dalam RKK).

“Rancangan ini mengalami kelewatan kerana sebahagian kawasan pembinaannya adalah kawasan hutan simpan dan ia perlu diselesaikan. Kita juga mengambil kira faktor keselamatan dan kejadian tanah runtuh di kebanyakan kawasan di situ.

“Bagaimanapun, hotel kedua masih di peringkat perancangan kerana kita perlu meneliti keadaan semasa selepas berlaku banyak kejadian tanah runtuh di lereng bukit berkenaan ekoran hujan pada November 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Dialog dan Jamuan Makan Tengah Hari Tahunan anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) di Georgetown, hari ini.

Sebelum ini, wujud spekulasi mengenai cadangan pembinaan hotel di puncak Bukit Bendera, selain rancangan itu dikatakan dilakukan tanpa melalui sesi pendengaran awam.

Mengenai model kewangan diguna pakai bagi pembinaan hotel berkenaan, Kon Yeow berkata, ia akan dibiayai pemaju daripada sektor swasta menerusi Perkongsian Profesional Swasta Awam dan Rakyat (PPPP).

“Kita masih belum memuktamadkan perkara ini (pembiayaan) dan ia masih dibincangkan, selain kita mungkin buka tender. Ia tidak semestinya akan dibiayai Perbadanan Bukit Bendera (PBBPP).

“Hotel ini juga mungkin akan dipajakkan sehingga 30 tahun kepada pihak ketiga, sekiranya ada yang berminat untuk membiayai projek berkenaan dan ini adalah model yang biasa digunakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 4:11 PM