Rizanizam Abdul Hamid dan Veena Babulal


BIARPUN masih menjalani rawatan, namun Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap hadir menyertai kira-kira 300 jemaah menunaikan solat Maghrib di Masjid Kariah Bagan Pinang, Port Dickson, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Majlis bermula dengan solat Maghrib diikuti bacaan surah Yasin dan solat hajat memohon perlindungan Allah SWT khususnya menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Sabtu ini.

Ia adalah kemunculan pertama Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri membantu kempen PRK Port Dickson sebagai tanda sokongan terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Muhyiddin bercuti sejak 12 Julai lalu selepas menjalani pembedahan di Singapura untuk membuang ketumbuhan di pankreas, yang dikesan berada pada tahap awal.

Beliau dibenar pulang pada 12 Ogos lalu dan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pagoh di Dewan Rakyat pada 14 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 8:33 PM
MUHYIDDIN (empat dari kanan) membaca Yasin selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Kariah Bagan Pinang, Port Dickson, malam ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
MUHYIDDIN (empat dari kanan) membaca Yasin selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Kariah Bagan Pinang, Port Dickson, malam ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman