GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fazrik Kamarudin

POLIS menahan tiga remaja lelaki berusia antara 13 hingga 14 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes curi sebuah motosikal, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, semua suspek ditahan di Apartmen Mesra Ria, Taman Pandan Mesra, di Ampang Jaya, kira-kira pada jam 10.30 malam.

Katanya, keempat-empat suspek berjaya dikesan selepas tiga daripada mereka menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Isnin lalu, kita terima laporan daripada pengadu yang kehilangan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss di tempat parkir Apartment Mesra Ria.

“Semalam, anggota Operasi Balai Polis Pandan Indah, Ampang Jaya membuat penugasan Rondaan Cegah Jenayah di kawasan Pandan Indah, apabila tiba di Jalan Mewah Utara, Pandan Mewah, mereka mengesan tiga remaja lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Kriss warna Hitam.

“Anggota polis kemudian mengekori sehingga di Apartment Mesra Ria, Taman Pandan Mesra sebelum memeriksa ketiga-tiga remaja tersebut dan salah seorang daripada mereka bertindak melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hamzah berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki ketiga-tiga suspek adalah motosikal yang dilaporkan hilang pada Isnin lalu.

“Polis kemudian terus menahan dua suspek penunggang dan pembonceng motosikal manakala suspek yang melarikan diri berjaya ditahan bersama seorang lagi rakan mereka.

“Setakat ini kita percaya mereka tiada kaitan mana-mana sindiket. Mereka disyaki menggunakan kunci motosikal lain dan mencuba pada motosikal mempunyai kunci yang rosak dan boleh dihidupkan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka juga terbabit dengan kehilangan motosikal kawasan Ampang,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini.

Katanya, polis masih lagi mengesan seorang rakan mereka dipercayai seorang murid sekolah yang masih bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:45 PM