Caption<PERGELANGAN tangan kanan lelaki yang tersepit pada mesin penggelek kertas di sebuah kilang di Parit Buntar, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Caption<PERGELANGAN tangan kanan lelaki yang tersepit pada mesin penggelek kertas di sebuah kilang di Parit Buntar, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


PEKERJA lelaki menanggung kesakitan lebih setengah jam apabila pergelangan tangan kanannya tersepit pada mesin penggelek kertas di sebuah kilang di Taman Kerian, Parit Buntar, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar Abdul Talib Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.13 petang dan segera ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota yang tiba di lokasi mendapati pergelangan tangan kanan lelaki berusia 48 tahun itu tersepit pada mesin penggelek berkenaan.

“Pada ketika itu ada beberapa juruteknik kilang sedang berusaha mengeluarkan tangan mangsa dari mesin itu.

“Anggota bomba kemudian membuka penutup mesin dan meregangkan bahagian penggelek menggunakan peralatan khas sebelum pergelangan tangan mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 8:02 PM