Noor Hidayah Tanzizi


POLIS mengubah siasatan kes membabitkan ibu tunggal yang parah ditikam dalam kejadian samun di kebun betik di Batu 40 Kampung Tengah, Beruas, 12 September lalu, kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ia susulan mangsa, Norehan Mat Saad, 31, yang juga penyelia kebun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, kira-kira 12 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kes itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan semasa merompak.

Menurutnya, doktor pakar memaklumkan 50 peratus hati mangsa terpaksa dibuang kerana mengalami kecederaan teruk akibat ditikam.

"Suspek dipercayai menikam di bahagian hati bahagian kanan lebih dari sekali sehingga mengakibatkan kecederaan teruk pada bahagian berkenaan.

"Pihak hospital memaklumkan mangsa meninggal dunia semalam dan susulan itu kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, polis juga sudah menahan lima lelaki warga Indonesia berusia antara 21 hingga 36 tahun di rumah kongsi di kawasan Beruas, Khamis lalu bagi membantu siasatan dan turut merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

NSTP sebelum ini melaporkan, dalam kejadian 7.45 pagi itu, Norehan parah di kiri dan kanan perutnya serta lutut kiri akibat tiga tikaman.

Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.25 pagi daripada majikan mangsa yang menemui wanita itu dalam keadaan berlumuran darah di hadapan kebun.

Mangsa kemudian dipindahkan dari Hospital Seri Manjung (HSM) ke HSB dengan helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia kerana memerlukan pembedahan segera pada bahagian hati yang luka akibat tikaman itu.

Berita berkaitan

Intan 'pergi' selepas enam hari...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 11:09 AM