AHLI geng Jee Jin Tong dibawa ke mahkamah. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
AHLI geng Jee Jin Tong dibawa ke mahkamah. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein

EMPAT puluh ahli geng Jee Jin Tong dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan pindaan menjadi ahli kumpulan geng itu, awal tahun ini.

Mereka mengaku tidak bersalah dalam prosiding yang dijalankan dalam dua prosiding berasingan.

Di hadapan Majistret Azureen Sahirah Saufee Afandi, 25 tertuduh lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah terhadap mereka.

Seramai 15 tertuduh lelaki lain turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh berusia 20-an hingga 60-an didakwa menjadi ahli geng Jee Jin Tong yang juga satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang di Jalan Permas, Bandar Baru Permas Jaya di Johor Bahru, pada 14 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai 35 tertuduh dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.

Lima lagi tidak dibenarkan sebarang ikat jamin memandangkan mereka masih menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mahkamah menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 8:38 PM