Audrey Dermawan


MENTERI Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memberi komitmen bahawa perkhidmatan feri yang juga ikon Pulau Pinang akan dikekalkan.

Menurutnya, pihaknya merancang untuk menambah baik perkhidmatannya, termasuk pelan memperkenalkan bot pelancongan jenis Catamaran, selain menaik taraf terminal feri sedia ada tetapi tiada keputusan mutlak dibuat.

“Kami melihat bahawa ‘service’ (perkhidmatan) feri Pulau Pinang yang menjadi ikon negeri ini mesti dikekalkan.

“Ia antara yang ditegaskan pihak kerajaan negeri dan kami mahu melihat ia diteruskan dan ditambah baik,” katanya.

Beliau ditanya mengenai pelan kementeriannya ke atas perkhidmatan feri selepas ia diambilalih Prasarana Malaysia Bhd, baru-baru ini.

Pada 1 Mei lalu, Prasarana melalui anak syarikatnya Rapid Ferry Sdn Bhd, mengambil alih operasi feri yang sering mencatatkan kerugian daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC).

Perkhidmatan feri sedia ada dikendalikan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sejak 1 Januari 1994, susulan penswastaan Penang Port.

Rapid Ferry sebagai operator baru akan mengambil alih semua hartanah dimiliki PPC di Terminal Feri Sultan Abdul Halim (Butterworth) dan Terminal Feri Raja Tun Uda (Georgetown) melalui perjanjian sewa.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelantikan pengerusi baru PPC, selepas jawatan itu dikosongkan sejak 30 Jun oleh pengerusi sebelum ini, Datuk Tan Teik Cheng yang juga pengerusi MCA Pulau Pinang, Loke berkata, ia bukan sahaja di Pulau Pinang, malah perkara yang sama berlaku di Port Klang, Johor dan Labuan.

“Kami memerlukan masa bagi mengisi kekosongan. Kami sedang meneliti beberapa nama, namun tiada sebarang keputusan dibuat.

“Semua pelantikan adalah berdasarkan kelulusan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum nama itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Ditanya sama ada jawatan itu akan diisi berdasarkan lantikan politik atau profesional, Loke berkata, ia adalah kombinasi di antara kedua-duanya.

“Sudah semestinya kami mahukan profesional. Kami sudah bertemu pihak berkepentingan dan meminta pandangan daripada industri.

“Kami berharap kombinasi yang lebih baik berbanding sebelum ini di mana semua lantikan adalah daripada parti politik. Kami tidak akan berbuat demikian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 5:22 PM
LOKE (berdiri, kanan) beramah mesra dengan orang ramai ketika menaiki feri dari Pengkalan Raja Tun Uda, Georgetown ke Pengkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth. hari ini. FOTO/VIDEO Ramdzan Masiam
LOKE (berdiri, kanan) beramah mesra dengan orang ramai ketika menaiki feri dari Pengkalan Raja Tun Uda, Georgetown ke Pengkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth. hari ini. FOTO/VIDEO Ramdzan Masiam