DUA lelaki Afrika dijatuhi hukuman gantung mandatori selepas mereka didapati bersalah mengedar 2,083 gram methamphetamine dua tahun lalu di Mahkamah Tinggi Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
DUA lelaki Afrika dijatuhi hukuman gantung mandatori selepas mereka didapati bersalah mengedar 2,083 gram methamphetamine dua tahun lalu di Mahkamah Tinggi Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Nur Aqidah Azizi


MAHKAMAH Tinggi Seremban hari ini menjatuhkan hukuman gantung mandatori ke atas dua lelaki Afrika selepas mereka didapati bersalah mengedar 2,083 gram methamphetamine, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan itu selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh, Chikanso Ansalem Okoli, 29, dari Nigeria dan Desmond Owusu, 25, dari Ghana, tanpa ragu-ragu.

Pihak pendakwa mengemukakan seramai 16 saksi, manakala pembelaan mempunyai dua saksi sepanjang perbicaraan.

Chikanso, pembantu restoran di Nilai dan Desmond, penuntut kolej swasta di Perak, melakukan kesalahan di tempat letak kereta di Nilai Square pada 15 Mac 2016, 11.05 pagi.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh ditangkap polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dalam keadaan mencurigakan susulan intipan yang dibuat selepas menerima aduan wujud kegiatan berkaitan dadah di situ.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Chikanso dan Desmond diwakili peguam bela Abdul Aziz Hamzah dan Datuk Hanif Hassan manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad.

Tertuduh tidak menunjukkan apa-apa reaksi apabila hukuman itu dibacakan oleh Muhammad Jamil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 1:22 PM