GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosliza Mohamed

SARJAN dan dua konstabel polis termasuk seorang yang baru empat bulan bertugas, diberkas selepas hampir tiga jam menyamun sebuah rumah dihuni enam lelaki di Cherang, di Kota Bharu.

Mereka yang berusia 26 dan 27 tahun ditahan bersama wang tunai RM2,710, pistol dan gari di tepi Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, antara jam 2.30 pagi hingga jam 3 pagi, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata, sebelum itu, semua suspek menaiki sebuah Nissan Navara, sebelum itu ke sebuah rumah di Cherang untuk menyamun pada jam 12.05 tengah malam.

Katanya, suspek yang turut membawa pistol dan gari, kemudian masuk ke rumah itu dan mengarahkan enam lelaki di ruang tamu, supaya mengeluarkan dompet masing-masing sebelum mengambil sejumlah wang.

“Suspek yang tidak berpuas hati turut mengambil kad bank daripada dua mangsa yang berusia 19 dan 41 tahun serta membawanya untuk mengeluarkan wang di mesin ATM di sebuah bank di Kota Bharu.

“Bagaimanapun, hanya satu kad bank berfungsi dan suspek mengarahkan mangsa mengeluarkan sebanyak RM2,000

“Mangsa kemudian dibawa pulang ke rumah itu, sebelum mereka membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Menurutnya, hasil maklumat, suspek pertama berjaya ditahan bersama kenderaan terbabit di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, jam 2.30 pagi,

Beliau berkata, susulan itu, soal siasat awal dijalankan dan dua lagi rakan subahat dihubungi untuk berjumpa di tepi jalan itu.

“Sebaik dua lagi suspek tiba, ketiga-tiga mereka diberkas dan kemudian dibawa ke balai untuk tindakan selanjutnya.

“Semua suspek yang bertugas di Kontinjen Kelantan dan Terengganu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Din berkata, ketiga-tiga mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan pihaknya masih melakukan siasatan lanjut kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 5:55 PM