FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


WANITA terkejut apabila mendapati semua barang kemas miliknya dilarikan anak angkat yang dijaga sejak kecil lagi.

Lebih mengejutkan apabila semua barang kemas yang dianggarkan hampir RM40,000 itu sudah digadai anak angkat perempuannya itu.

Sumber memaklumkan, kejadian disedari mangsa berusia 47 tahun itu ketika berada di rumahnya di Kampung Seri Aman, Jalan Bistari, Puchong pada 11.30 pagi, Ahad lalu, selepas mendapati barang kemas dalam simpanannya hilang.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa, dia tinggal bersama anak angkat dan suaminya di rumah berkenaan sejak mereka berkahwin kira-kira empat bulan lalu.

"Mangsa memberitahu, dia menerima panggilan telefon daripada ibu mentua anak angkatnya yang memaklumkan bahawa suami isteri itu sudah mengambil barang kemas wanita berkenaan.

"Difahamkan, pada mulanya anak angkatnya itu tidak mengaku mengambil barang kemas berkenaan. Namun, selepas perbincangan bersama keluarga mentuanya, wanita itu dan suaminya kemudian mengaku berbuat demikian," katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sumber berkata, sebaik melarikan barang kemas milik mangsa, suami isteri itu bertindak menggadaikan barang kemas berkenaan pada harga RM38,000.

"Wanita itu ada menyerahkan resit pajak gadai terhadap barang kemas itu kepada mangsa.

"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Puchong Jaya berhubung kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Kedua-dua suspek berusia 20an sudah ditahan pada Isnin lalu dan barang kemas yang digadai sudah dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 3:07 PM