ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa yang lemas di air terjun Lata Berangin, Sungai Pas, Kuala Krai, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa yang lemas di air terjun Lata Berangin, Sungai Pas, Kuala Krai, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Rohaida Omar


LELAKI ditemui lemas selepas tergelincir di air terjun Lata Berangin, Sungai Pas, Kuala Krai, 4.30 petang hari ini.

Mayat Koh Hon Keong, 37, dari Guchil 4, Kuala Krai ditemui pengunjung yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Kuala Krai ( HKK) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, sebelum kejadian beberapa penduduk kampung melihat mangsa mandi sendirian di kawasan terbabit pada 2 petang.

Katanya, berdasarkan siasatan awal polis, mangsa dipercayai tergelincir sebelum kepalanya terhantuk pada batu di kawasan terbabit sebelum lemas.

“Mayat mangsa ditemui pengunjung yang kebetulan berada di lokasi kejadian sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa dan dibawa ke HKK untuk bedah siasat.

“Kes tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, mangsa dilihat sering ke kawasan lata terbabit dan membawa bersama sebungkus plastik dipercayai makanan ikan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Mohd Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 4.49 petang sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian pada 5.37 petang, mayat sudah ditemui.

“Mayat kemudian diserah kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 11:03 PM