SUFFIAN menunjukkan lakaran suspek yang dikehendaki selepas terbabit dalam kes tikam di Kampung Tanjung Gelam. FOTO/GHAZALI KORI
SUFFIAN menunjukkan lakaran suspek yang dikehendaki selepas terbabit dalam kes tikam di Kampung Tanjung Gelam. FOTO/GHAZALI KORI
Zarina Abdullah


POLIS memburu buruh binaan yang menghilangkan diri selepas dipercayai menikam penjual ikan dalam satu pergaduhan di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Suspek dikenali sebagai Che Rozidi Amri Abu Bakar, 47, alamat terakhirnya di Kampung Gong Datuk, Mengabang Telipot telah menghilangkan diri selepas kejadian terbabit dilaporkan di Balai Polis Gong Badak pada hari sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman berkata, pihaknya percaya suspek masih bersembunyi di negeri ini dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta segera menghubungi Bahagian Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk membantu siasatan.

Suffian berkata, ibu mangsa yang berusia 51 tahun membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh orang awam tentang pergaduhan antara suspek dan anaknya, yang menyebabkan mangsa Azwan Suhaimi, 31, cedera di bahagian dada kiri.

“Dalam kejadian 4 petang itu, suspek yang dikenali sebagai Sidi telah bergaduh dengan mangsa berkait masalah dadah apabila tidak puas hati dengan teguran mangsa.

“Ekoran itu, suspek bertindak menikam mangsa dengan pisau yang diubahsuai dan disambung pada batang paip PVC,” katanya.

Katanya, mangsa mendapat rawatan intensif di hospital Sultanah Nur Zahirah selama dua hari, dan pihak hospital mengesahkan mangsa ditikam dengan senjata tajam dan mengalami luka sedalam 2 sentimeter.

Suffian berkata, Sidi yang mempunyai empat rekod kesalahan lampau, diminta menyerah diri dengan segera bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan parah dengan senjata berbahaya.

“Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 380 KK kerana mencuri, satu kes mengikut Seksyen 506 KK kerana ugutan jenayah dan Seksyen 457 KK kerana menceroboh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 2:05 PM