GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


GELANDANGAN warga emas yang ditemui orang ramai dalam keadaan cedera parah di Bazar Melayu di Taiping pagi tadi disahkan terbabit kemalangan jalan raya dan bukannya dipukul seperti tular dalam media sosial.

Mangsa, Mohd Idris Kadri berusia 70an beralamat dari Parit Haji Amin, Parit Buntar, koma dan dirawat di Hospital Taiping.

Berdasarkan gambar yang tular di media sosial hari ini, mangsa yang tersandar dan mengalami pendarahan teruk ditemui seorang wanita Cina yang melalui bazar berkenaan, dikatakan dipukul individu tidak bertanggungjawab sehingga mengalami kecederaan parah.

Berikutan kejadian itu, orang ramai segera memaklumkan perkara itu kepada pihak polis sebelum mangsa diserahkan kepada petugas ambulans Hospital Taiping.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisoner Mohamad Taib berkata, polis menolak dakwaan mangsa kononnya dipukul dan perkara itu disahkan oleh doktor bertugas.

“Menurut penerangan doktor bertugas, kecederaan dialami mangsa bukan disebabkan dipukul sebaliknya mangsa ada memberitahu dia terbabit kemalangan.

“Begitu juga dengan kenyataan yang diberikan mangsa kepada anggota polis yang tiba di lokasi kejadian pagi tadi,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurutnya, mangsa kini dalam keadaan koma dan pihak polis meminta ahli keluarga atau waris mangsa agar hadir ke Hospital Taiping untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 1:29 AM