ASMUNI (tengah) bersama ahli Pertubuhan Pengguna Prihatin Perak menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada penghuni Rumah Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman Kampung Manjoi, hari ini. FOTO Razif Rosli
ASMUNI (tengah) bersama ahli Pertubuhan Pengguna Prihatin Perak menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada penghuni Rumah Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman Kampung Manjoi, hari ini. FOTO Razif Rosli
Razif Rosli


KERAJAAN negeri mahu pusat tahfiz di negeri ini berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi memudahkan pemantauan dan agihan bantuan dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi berkata, kegagalan berbuat demikian menyukarkan pihak dipertangungjawab memantau operasi selain sukar mendapat bantuan sewajarnya.

Menurutnya, masih ada pusat tahfiz yang gagal mendaftar menyebabkan kewujudannya tidak diketahui, malah ada yang beroperasi di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran.

“Jika semua institusi (pusat tahfiz) ini berdaftar, mudah untuk kita tahu kewujudan mereka dan sekiranya berlaku apa-apa, kita mudah untuk beri bantuan secara teratur.

“Nasihat saya, mereka perlu berdaftar kerana ini sangat penting,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian dan penyampaian Sumbangan Rumah Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman, di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu status Pondok Kadir Al Jaafar, Gua Tempurung yang diserbu pihak berkuasa pada 26 Jun lalu.

Asmuni berkata, tindakan mendaftar pusat tahfiz secara tidak langsung kerajaan boleh memberi pandangan dan nasihat selain memudahkan urusan pemantauan termasuk aspek keselamatan dilakukan.

“Apabila sudah mendaftar, kita akan tahu tempat itu pusat pengajian tahfiz atau pusat latihan mahupun pusat pemulihan akhlak, ini jelas.

“Malah prosedur operasi standard (SOP) kena ada seperti keadaan bangunan, pendawaian, infrastruktur dan lain-lain,” katanya.

Katanya, untuk membolehkan pusat tahfiz itu didaftarkan, mereka perlu mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 3:10 PM