WAN Najmiah menunjukkan produk makanan ringan pelbagai jenis antaranya jeli, coklat, gula-gula dan jeruk kering yang disita akibat diragui status halal pada sidang media di Bangunan JAIS, Shah Alam, hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria.
WAN Najmiah menunjukkan produk makanan ringan pelbagai jenis antaranya jeli, coklat, gula-gula dan jeruk kering yang disita akibat diragui status halal pada sidang media di Bangunan JAIS, Shah Alam, hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria.
Faliq Lajim


SEBUAH kilang pembungkusan makanan ringan diserbu, hari ini selepas didapati menggunakan logo halal tanpa kebenaran dan palsu.

Operasi dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK) membawa kepada penyitaan 20 produk makanan ringan bernilai RM13,427.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali berkata, operasi itu dibuat berdasarkan aduan awam mengenai pembungkusan produk meragukan membabitkan produk makanan ringan dikeluarkan syarikat itu.

Beliau berkata, aduan diterima bahagian Halal JAIS dan hasil hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan bukan pemegang sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Hasil pemeriksaan mendapati produk itu menggunakan logo Halal Malaysia dan logo halal umum (generic) pada plastik pembungkusan produk makanan.

“Kami mengambil tindakan sita terhadap 20 produk makanan ringan dijual pada harga RM3 termasuk jeli, coklat, gula-gula dan jeruk kering diawet,” katanya pada sidang media di Bangunan JAIS, Shah Alam, hari ini.
Wan Najmiah berkata, siasatan awal mendapati produk makanan ringan berkenaan dijual secara meluas di kedai runcit dan serbaneka di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

Beliau berkata, kilang terbabit dipercayai melakukan pembungkusan untuk produk dikeluarkan syarikat tempatan dan syarikat dari China yang diragui status halal.

“Kami akan menghantar sampel ke Jabatan Kimia dan menyiasat jika ia mengandungi gelatin berikutan tiada gelatin halal dari China yang dibawa masuk ke Malaysia.

“Barang sitaan dihantar di stor gudang simpanan hab halal JAKIM di Puchong sehingga siasatan lengkap dan laporan polis dibuat di Balai Polis, Seksyen 6, Shah Alam,” katanya.

Pada masa sama, Wan Najmiah berkata, pihaknya sudah mengarahkan syarikat berkenaan untuk menghentikan pembungkusan menggunakan logo halal.

“Kami akan memanggil pemilik syarikat berkenaan yang berada di Kota Kinabalu, Sabah untuk mengambil keterangan. Jika beliau didapati bersalah, kami akan ambil tindakan undang-undang.

“Wakil syarikat diarahkan tidak menjual barangan ini serta tidak menggunakan logo halal dan ungkapan halal pada semua produk makanan ringan berkaitan sehingga siasatan selesai,” katanya.

Beliau berkata, tindakan diambil bahagian Halal JAIS dan kes disiasat mengikut Perintah 4(1) Perintah perihal Dagangan 2011 (perakuan & penandaan halal) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menawarkan dan membekal perkhidmatan dan menggunakan logo halal Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa.

Sebarang kemusykilan mengenai status halal produk di pasaran dan premis makanan, layari www.halal.gov.my atau rujuk direktori Halal Malaysia menerusi aplikasi telefon pintar MyJakim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 6:08 PM