SAKDIAH meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta sebaik keluar dari simpang di Jalan Bunut Payong, Kota Bharu, petang semalam. FOTO ihsan pembaca.
SAKDIAH meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta sebaik keluar dari simpang di Jalan Bunut Payong, Kota Bharu, petang semalam. FOTO ihsan pembaca.
Siti Rohana Idris


WANITA maut selepas dirempuh kereta sebelum tercampak ke atas jalan raya dalam kemalangan di Jalan Bunut Payong, Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 6.40 petang itu, Sakdiah Ishak, 58, yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di Kota Bharu menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego keluar dari simpang sebelah kiri jalan dan ingin menghala ke pusat bandar.

“Mangsa masuk ke laluan dan terus melintas ke kanan jalan.

“Pemandu kereta menekan brek dan cuba mengelak namun disebabkan jarak terlalu dekat, bahagian sisi motosikal mangsa terkena rempuhan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke atas cermin hadapan kereta yang merempuh sebelum jatuh di atas jalan.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta pula cedera di bahagian muka serta tangan dan menerima rawatan di Unit Kecemasan (Zon Kuning) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 12:29 AM