Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS menumpaskan satu sindiket penipuan Macau Scam yang disyaki turut menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di rumah kedai dekat Jalan Eco Casdia, Taman Eco Perniagaan, Johor Bahru, Jumaat lalu.

Dalam serbuan 11.30 pagi itu, polis menahan 67 individu warga China berusia antara 19 hingga 38 tahun termasuk lapan wanita.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, ketika serbuan semua suspek sedang beroperasi dengan 100 komputer dan empat komputer riba.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati rumah kedai itu disewa sejak sebulan lalu untuk digunakan sebagai pusat operasi aktiviti berkenaan.

“Pada mulanya, kita melakukan serbuan selepas mendapat maklumat berhubung aktiviti Macau Scam namun selepas menjalankan siasatan, kita percaya mereka juga disyaki ada menjalankan perjudian atas talian.

“Kita merampas 100 komputer, empat komputer riba, enam modem, 71 telefon bimbit, dua alat peranti rangkaian serta beberapa dokumen dipercayai digunakan sindiket ini untuk menjalankan aktiviti mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) di Johor Bahru, hari ini.

Mohd Khalil berkata, pihaknya percaya sindiket itu menggunakan modus operandi dengan membuat panggilan kepada mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa atau institusi kewangan.

Katanya, suspek kemudian memberitahu mangsa ada terbabit dalam siasatan polis, Kastam atau Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi namun mensasarkan mangsa dari negara mereka.

“Malaysia negara membangun dengan kemudahan yang ada, maka kita percaya mereka mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti penipuan ini.

“Ini pertama kali sindiket Macau Scam menjadikan rumah kedai sebagai pusat operasi mereka kerana sebelum ini kita pernah menumpaskan sindiket seumpama ini yang pernah beroperasi di rumah kediaman,” katanya.

Menurut Mohd Khalil, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan dalang utama sindiket itu memandangkan semua suspek tiada pasport ketika serbuan dibuat.

“Kita dapati mereka masuk ke negara ini secara sah namun mereka tidak memegang pasport mereka. Oleh itu, kita percaya ada dalang utama di sebalik sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman selama 14 hari sehingga 6 Julai ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 10:58 PM
MOHD Khalil (depan) menunjukkan barangan rampasan sindiket penipuan Macau Scam yang disyaki turut menjalankan aktiviti perjudian dalam talian. FOTO Mohd Azren Jamaludin
MOHD Khalil (depan) menunjukkan barangan rampasan sindiket penipuan Macau Scam yang disyaki turut menjalankan aktiviti perjudian dalam talian. FOTO Mohd Azren Jamaludin