ANTARA pesakit yang dibantu Yunizam. FOTO Ihsan Yunizam Yusop
ANTARA pesakit yang dibantu Yunizam. FOTO Ihsan Yunizam Yusop
Poliana Ronnie Sidom


DALAM tempoh kurang lima bulan selepas mula beroperasi awal tahun ini, Yunizam Yusop, 30, sudah membantu lebih 100 pesakit untuk dihantar ke hospital.

Yunizam, satu-satunya pemuda di Sandakan yang menawarkan perkhidmatan menghantar pesakit secara percuma ke hospital dengan menjadikan kereta Perodua Kelisa dan Myvi miliknya sebagai pengangkutan.

Menceritakan mengenai perkhidmatannya itu, Yunizam berkata, dia mula menawarkan penghantaran percuma ke hospital selepas membantu menghantar seorang wanita warga emas dan cucunya ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan, pada November 2017.

“Ketika itu hujan lebat, saya terserempak seorang nenek dan cucunya yang mahu melintas jalan raya untuk ke hospital dan sejak itu, saya terfikir untuk wujudkan pengangkutan percuma bagi membantu mereka, terutama golongan miskin ke hospital.

“Hasrat saya cuma mula terlaksana awal tahun ini. Saya mempromosikannya melalui media sosial seperti Facebook, selain dibantu rakan dan ada juga yang tahu perkhidmatan saya menerusi pelekat di kereta.

“Tujuan saya cuma mahu membantu mereka dan tak sangka ia dapat sambutan menggalakkan,” katanya kepada NSTP, semalam.

Yunizam yang bekerja sendiri berkata, setakat ini, tempat paling jauh dia membantu pesakit dari Batu 28, kira-kira 45 kilometer dari sini dengan keadaan jalan teruk dalam kawasan ladang sawit.

Sepanjang tempoh lima bulan itu juga, Yunizam berkata, dia menerima pelbagai reaksi positif daripada masyarakat dengan ada antara mereka yang turut memberi derma bagi menampung kos minyak dan kerosakan kereta, sekali gus membolehkannya meneruskan perkhidmatan murni itu.

“Selepas lima bulan beroperasi juga, pelbagai pihak hargai perkhidmatan saya. Contohnya apabila bawa pesakit, anggota polis akan beri laluan kepada saya dan pihak hospital juga beri saya tempat letak kereta sekali gus mudahkan saya menghantar pesakit.

“Selain mereka yang sakit biasa, ada yang penghidap kanser, selain ibu mengandung mahu melahirkan bayi. Mereka yang menggunakan perkhidmatan saya bukan saja orang baru, ada yang sudah dua tiga kali meminta bantuan pengangkutan ke hospital,” katanya.

ANTARA pesakit yang dibantu Yunizam. FOTO Ihsan Yunizam Yusop
ANTARA pesakit yang dibantu Yunizam. FOTO Ihsan Yunizam Yusop

Yunizam berkata, biarpun niatnya ikhlas untuk membantu masyarakat, dia juga berdepan cabaran apabila ada individu tidak bertanggungjawab yang cuba mempermainkannya dengan membuat panggilan palsu.

“Amat menyedihkan apabila saya tiba di sesuatu tempat dimaksudnya, namun alamat tidak tepat atau tidak wujud,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Jun 2018 @ 1:07 PM