PRODUK Deluxe Beauty-Ultra Lightening Cream yang mengandungi racun berjadual. Gambar kanan, Miracle White-Brightening Cream.
PRODUK Deluxe Beauty-Ultra Lightening Cream yang mengandungi racun berjadual. Gambar kanan, Miracle White-Brightening Cream.
Mahaizura Abd Malik dan Noridzuan Shamsuddin dan Syazwan Msar

Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan senarai terbaru beberapa produk kecantikan yang didapati mengandungi racun berjadual seperti hydroquinone, tretinoin serta merkuri, sekali gus boleh memberi kesan negatif kepada orang ramai jika menggunakannya secara berterusan.

Kenyataan dikeluarkan KKM menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berkata, antara produk berkenaan adalah Miracle White-Brightening Cream dan Deluxe Beauty-Ultra Lightening Cream.

Kedua-dua produk berkenaan masing-masing dikeluarkan oleh syarikat Miracles Surplus Sdn Bhd dan Luna Group Sdn Bhd didapati mengandungi racun berjadual iaitu merkuri yang dikesan aktif beroperasi di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

“Produk kosmetik yang dicampur dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata.

“Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.

Menurut kenyataan itu, produk kosmetik yang dicampur dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Produk kosmetik palsu yang dicampur merkuri lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan antipenuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata, kedutan dan boleh memudaratkan kesihatan,” katanya.

Selain itu, produk lain yang turut disenaraikan KKM ialah Deeja Cosmetic Star Cream kerana mengandungi hydroquinone dan tretinoin, Deeja Cosmetic Vogue Cream (merkuri) dan Deeja Cream Nano (night) (merkuri) yang masing-masing dikeluarkan oleh Limajari Marketing serta Onew Cosmetics.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 10:30 AM