BAI Tian. FOTO Arkib NSTP
BAI Tian. FOTO Arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


DUTA China ke Malaysia, Bai Tian yakin hubungan diplomatik antara China dan Malaysia yang sedia terjalin akan menjadi lebih kukuh di bawah pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menzahirkan keyakinan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Tian berkata, Dr Mahathir adalah rakan lama rakyat China yang sangat dihormati dan mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.

“Tempoh pertama beliau sebagai Perdana Menteri meliputi separuh daripada 44 tahun jalinan hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.

“Ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini, beliau mengunjungi China sebanyak tujuh kali. Sumbangan pentingnya kepada hubungan China - Malaysia meletakkan asas kukuh untuk hubungan mesra dan kerjasama yang kita nikmati kini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Dr Mahathir juga yang memulakan kerjasama China-ASEAN dan Kerjasama ‘10 plus 3’ (ASEAN+China, Jepun, Korea Selatan) dan memainkan peranan bersejarah untuk kerjasama Asia Timur yang semakin berkembang hari ini.

“Sebagai rakan sejati dan kerjasama penting Malaysia, China bersedia bekerjasama dengan kerajaan Malaysia yang baharu bagi memajukan kerjasama pragmatik antara kedua-dua negara dalam semangat kesamaan dan kepercayaan bersama demi kepentingan bersama secara menang-menang.

“Saya percaya dalam tempoh pentadbiran baharu beliau, hubungan China-Malaysia akan meningkatkan ke tahap baharu,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Tian turut mengimbau kerjasama pragmatik antara kedua negara dengan China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut.

Katanya, China juga adalah pelabur terbesar dalam industri pembuatan Malaysia selama dua tahun berturut-turut selain rakyatnya adalah pelancong asing teramai berkunjung ke Malaysia untuk enam tahun berturut-turut.

“Kini kedua-dua negara diberkati dengan potensi besar untuk bekerjasama dalam pembangunan dan kemakmuran bersama. Ini juga intipati idea Presiden (China), Xi Jinping untuk membina komuniti yang berkongsi masa depan bersama secara konsisten.

“Kami menghargai sokongan padu Dr Mahathir kepada inisiatif Satu Jalur dan Satu Jalan dan mengalu-alukan pelaburan China, sejurus selepas mengambil alih jawatan.

“China sentiasa menganggap Malaysia sebagai rakan kerjasama penting bagi Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 dan mempromosikan inisiatif Satu Jalur dan Satu Jalan untuk kemakmuran dan pembangunan bersama serta membina komuniti Asia ke arah satu matlamat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia akan terus meningkatkan kerjasama dengan China, terutama dalam bidang politik, ekonomi dan perdagangan.

“Dr Mahathir menyatakan kebelakangan ini China mencapai kejayaan luar biasa dalam pembangunan ekonomi, pembinaan infrastruktur, termasuk sistem kereta api dan kemajuan teknologi dalam pengeluaran pertanian.

“Banyak perkara yang boleh dibuat bersama antara kedua-dua negara dan Malaysia juga mengalu-alukan pelaburan daripada China,” katanya yang menjemput Perdana Menteri melawat China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 10:15 PM