PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Ramli Din menunjukkan senjata yang ditemui dalam bot dinaiki empat suspek penjenayah rentas sempadan yang mati ditembak di perairan FELDA Sahabat, Lahad Datu. Gambar kecil, polis mengangkat mayat suspek. Foto IHSAN PDRM dan IHSAN PEMBACA
PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Ramli Din menunjukkan senjata yang ditemui dalam bot dinaiki empat suspek penjenayah rentas sempadan yang mati ditembak di perairan FELDA Sahabat, Lahad Datu. Gambar kecil, polis mengangkat mayat suspek. Foto IHSAN PDRM dan IHSAN PEMBACA
Ainul Durmahyanty Durming


PASUKAN keselamatan menembak mati empat lelaki dipercayai penjenayah rentas sempadan yang disyaki cuba melakukan penculikan untuk wang tebusan (KFR) dalam kejadian berbalas tembakan di perairan FELDA Sahabat, Lahad Datu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2 pagi di 9.6 batu nautika dari pantai FELDA Sahabat 16 itu, anggota keselamatan yang melakukan rondaan membabitkan Pasukan Khas dari Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Unit 69 Komando dan Pasukan Polis Marin (PPM) mengesan bot dalam keadaan mencurigakan.

Pasukan itu yang menggunakan Bot Adal 19 cuba menghampiri bot terbabit yang dinaiki sekumpulan lelaki yang menuju laju ke arah sekumpulan bot nelayan di perairan berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, pasukan keselamatan kemudian memintas bot itu dalam keadaan lampu biru polis dinyalakan, namun tiba-tiba beberapa suspek telah melepaskan tembakan yang dikesan menerusi percikan api dari bot berkenaan.

"Bagi mempertahankan diri, pasukan keselamatan membalas tembakan dan tidak lama selepas itu apabila membuat pemeriksaan, dua mayat suspek dengan kesan tembakan ditemui di bot dan dua mayat lagi di dalam laut.

"Dalam kejadian tembak menembak itu, anggota keselamatan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun ada satu kesan tembakan pada bahagian hadapan kiri bot Adal 19," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini.

Ramli berkata, kejadian itu berlaku pada kedudukan 4.7 batu nautika dari sempadan perairan Filipina dan dalam kawasan perintah berkurung yang dikuatkuasakan ESSCOM.

Katanya, pemeriksaan susulan di lokasi kejadian mendapati empat suspek yang dianggarkan berusia 20-an hingga 40-an itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

"Berdasarkan penemuan kelongsong peluru dalam bot suspek, kita percaya kumpulan terbabit menggunakan senjata berat yang dipercayai tercampak ke dalam laut ketika insiden tembak-menembak.

"Kita juga telah menggerakkan pasukan Komando 69 dan PPM untuk menyelam bagi mengesan senjata terbabit di dalam laut, namun masih gagal ditemui," katanya.

Beliau berkata, bot dinaiki kumpulan terbabit tiada nombor pendaftaran, manakala nombor enjin telah dipadamkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti sebenar mereka.

"Antara barang dirampas ialah sepucuk pistol bersama satu kelopak, pelancar grenad, kelongsong peluru 7.62mm (21 butir) dan kelongsong 5.56mm (13 butir)," katanya.

Berita berkaitan:

Empat penjenayah ditembak mati

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 2:39 PM