ATILLAH Khan (kanan) bersama   penumpangnya.
ATILLAH Khan (kanan) bersama penumpangnya.
 MUHAMMAD Noor Iqhwan raih pendapatan RM800 seminggu.
MUHAMMAD Noor Iqhwan raih pendapatan RM800 seminggu.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tinggal di Kuantan tetapi cari makan di ibu negara demi mencari rezeki. Inisiatif itu diambil beberapa pemandu Grab dari pantai timur yang memandu lebih 300 kilometer (km) semata-mata untuk menambah pendapatan.

Setiap minggu, mereka akan berada di Kuala Lumpur selama tiga hingga empat hari untuk mencari rezeki sebelum pulang semula ke pangkuan keluarga dengan membawa wang tunai untuk dibelanjakan.

Bagi Mohd Saiful Othman, 32, jarak yang jauh bukan penghalang untuk ‘buat duit’ kerana sejak lapan bulan lalu, dia berulang-alik dari Indera Mahkota ke Lembah Klang dan merancang untuk terus tinggal di sini kerana lebih ‘masyuk’.

“Saya buat kerja sambilan sebagai pemandu Grab di Kuantan dengan pendapatan kira-kira RM500 seminggu. Tetapi dalam masa tiga atau empat hari di Kuala Lumpur, saya dapat RM650 bersih. Ia lebih daripada cukup untuk menampung kehidupan bersama keluarga.

“Memang ada yang kata saya perlu berjalan jauh untuk dapat jumlah itu, tetapi pada saya berbaloi kerana sebaik memasuki ibu negara, saya terus menerima tempahan dan kadang-kadang sampai lewat pagi masih ada pelanggan. Lama-lama saya rasa seronok kerana kerja ini tidaklah susah sangat,” katanya.

Mohd Saiful berkata, dia tidak keseorangan melakukan kerja terbabit kerana ketika ini di sekitar Kuantan, terdapat 70 pemandu Grab yang berulang-alik setiap minggu untuk menambah pendapatan masing-masing.

Dia yang bekerja secara kontrak sebagai pembantu makmal di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata, selepas ini dia akan menjadi pemandu Grab sepenuh masa dan membawa bersama keluarga tinggal di sekitar Kuala Lumpur atau Selangor.

“Sekarang ini kalau fikir balik, memang penat tetapi saya redah sajalah kerana fikir cari makan. Tinggal di Kuantan, tetapi empat hari di Kuala Lumpur untuk cari rezeki sebelum pulang semula ke rumah di Kuantan. Mula-mula macam susah tetapi lama-lama sudah biasa.

“Di ibu negara, saya singgah di mana-mana stesen minyak untuk mandi dan berehat. Ada masanya saya ke rumah kawan. Selebihnya saya mencari pelanggan di sini. Memang seronok, letih pun hilang bila dapat duit,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemandu Grab, Muhammad Noor Iqhwan Mohd Yazid, 22, berkata, dia sudah berulang-alik dari Kuantan sejak empat bulan lalu semata-mata membawa Grab di Kuala Lumpur.

“Di Kuantan, pemandu Grab sudah ramai. Jadi ada rakan-rakan yang cadangkan supaya saya ke Kuala Lumpur kerana lebih banyak peluang tetapi memang boleh tambah pendapatan sekitar RM800 seminggu.

“Saya akan terus cari rezeki dengan cara ini kerana masih lagi berbaloi walaupun terpaksa tinggalkan keluarga. Yang penting dapat cari duit halal untuk hidup yang lebih selesa,” katanya.

Selain itu pemandu Grab bukan saja sanggup datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mencari rezeki ada juga yang mengambil tempahan untuk menghantar penumpang ke Genting Highlands atau destinasi percutian lain.

Bagi Akram Ahmad, 28, dia tidak kisah memandu dalam jarak yang jauh kerana yang penting, dapat mencari rezeki halal untuk keluarga.

Katanya, jika pada hari biasa, dia hanya mengambil penumpang di sekitar Lembah Klang, namun pada cuti hujung minggu, pemandu Grab sepertinya bersedia memberima tempahan bagi perjalanan jauh.

“Ada rakan-rakan saya pernah menerima tempahan sehingga ke Terengganu, Melaka dan Johor. Saya sendiri pernah ke Genting Highlands, menghantar penumpang pada hujung minggu.

“Bagi perjalanan sehala itu saja, saya menerima bayaran sekitar RM150 yang dianggap berbaloi. Kalau dalam seminggu dapat tiga kali tempahan begitu, memang seronoklah.

“Memandu dalam jarak yang jauh bukanlah penghalang. Memang ramai yang menjadikan ibu negara sebagai lubuk, tetapi kami yang di Kuala Lumpur juga memandu ratusan kilometer menghantar penumpang. Asalkan ada tempahan, kami akan sampai,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemandu Grab, Attillah Khan Masamiraullah Khan, 32, berkata, jarak perjalanan yang jauh sebenarnya memberikan pendapatan lebih dan itu tidak pernah menjadi masalah kepadanya.

“Saya pernah memandu jauh ke pantai timur. Pendapatan juga lumayan. Sebenarnya Grab ini boleh buat duit, rajin atau tidak saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 5:50 AM