Ahmad Zahid mengacau rendang bersama  Shahrul   (dua dari  kiri) dan  Ibrahim  (kanan) pada Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Pasang Api,   semalam.
Ahmad Zahid mengacau rendang bersama Shahrul (dua dari kiri) dan Ibrahim (kanan) pada Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Pasang Api, semalam.
Shaarani Ismail

Bagan Datuk: Pembangkang didakwa merancang untuk memasukkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke hospital bagi meraih simpati pada saat akhir sebelum hari mengundi.

Pendedahan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Pasang Api di sini, semalam.

Menurutnya, langkah itu antara serangan mengejut saat akhir yang akan dilakukan pembangkang untuk meraih simpati pengundi khususnya di Langkawi.

Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) tidak terkejut jika ia benar-benar berlaku

“Kami (BN) menghidu perancangan mereka supaya Dr Mahathir dimasukkan ke hospital untuk meraih simpati daripada pengundi beliau di Langkawi dan pengundi di kawasan lain.

“Taktik itu sudah kami hidu dan saya harap pengundi tidak terjebak dengan taktik yang digunakan untuk meraih simpati,” katanya.

Hadir sama, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Ahmad Zahid berkata, ini terbukti daripada taktik digunakan Dr Mahathir yang mengatakan kebocoran tayar pesawat dinaikinya ke Langkawi sehari sebelum penamaan calon mempunyai unsur sabotaj.

Menurutnya, dakwaan itu kononnya dilakukan bagi menghilangkan kelayakan beliau untuk bertanding.

Sedangkan, katanya, kenyataan Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Datuk Seri Azharuddin A Rahman memperlihatkan jawapan secara profesional menjelaskan tiada sabotaj berlaku.

“Pasti banyak lagi taktik digunakan, kita kenal beliau kerana kita pernah menjadikannya ketua.

“Strategi serta taktik itu mungkin berubah, tetapi acuannya sama saja untuk mengelirukan pengundi.

“Jangan terjebak dengan taktik itu kerana ia kaedah lama tapi dengan isu baru yang diada-adakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 9:15 AM