Nurul Hidayah Bahaudin


KENYATAAN media asing yang mendakwa imam dari Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma yang ditembak mati di Setapak, Kuala Lumpur, semalam, ialah pakar pembuat roket dan dron adalah tidak benar.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, Dr Fadi adalah pakar dalam bidang sumber tenaga boleh diperbaharui yang arif berkaitan kejuruteraan jana kuasa.

"Sejak berita kematian arwah tersebar, pelbagai berita sensasi dikeluarkan mengenai beliau termasuk dakwaan Dr Fadi adalah pakar pembuat roket dan dron yang dilaporkan oleh media asing.

"Kenyataan itu sama sekali tidak benar. Dr Fadi adalah seorang yang cintakan keamanan dan mana mungkin dia akan merisikokan dirinya serta warga Palestin lain yang berada di Malaysia dengan membabitkan diri membuat senjata api seperti didakwa kerana tindakan itu menjadikan dia sebagai sasaran musuh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MyCARE, di sini, hari ini.

Dr Hafidzi berkata, Dr Fadi mempunyai rekod pencapaian akademik dan profesional cemerlang dalam bidang sumber tenaga boleh diperbaharui dan berhasrat untuk menyumbang kepada pembangunan pada tanah airnya.

"Kami tidak menolak kemungkinan kebolehan dan sumbangan sama ada secara akademik mahupun bantuan kemanusiaan kepada umat Islam menyebabkan dia menjadi sasaran Zionis Israel berdasarkan modus operandi pembunuhannya yang mungkin dirancang ejen atau operatif Mossad Israel.

"Malah sebelum ini dia pernah menyuarakan kebimbangan apabila diserang helikopter Apache selain peristiwa pembunuhan 18 ahli keluarganya di Gaza pada 2009, sekali gus menguatkan teori berkenaan," katanya.

Beliau menyeru kepada kerajaan supaya menyelesaikan kes itu dengan segera dan memastikan kejadian terbabit tidak berulang termasuk dalam aspek keselamatan pihak yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

"Warga Palestin di Malaysia menganggap negara ini seperti negara mereka sendiri yang terjamin dari segi keselamatan dan tidak diganggu gugat oleh musuh luar.

"Kami percaya pihak polis dengan segala kemampuan dan pengalaman sedia ada akan berjaya membongkar episod pembunuhan ini hingga ke dasar," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi semalam, Dr Fadi yang juga pensyarah di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UNIKL BMI) ditembak mati dua lelaki menaiki motosikal ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh berhampiran kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur.

Berita berkaitan

'Lelaki itu bukan suspek kes Fadi'

UNIKL BMI sedia urus pengebumian Fadi

[UPDATE] Nak tatap wajah untuk kali terakhir

'Bunyi tembakan macam bunyi mercun'

‘Dr Fadi suka layan kerenah penuntut’

Dirancang Mossad, kata Jihad Islam Palestin

‘Mungkin kebijaksanaan Fadi jadi ancaman’

Mufti doa Fadi dapat syahid

Ejen negara asing disyaki bunuh Fadi

‘Arwah biasa jadi imam’

Penembak tunggu 20 minit

Imam Palestin ditembak mati

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 4:23 PM
PENGERUSI MyCARE Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, pada sidang media pembunuhan ke atas warga Palestin, Dr Fadi Al-Batsh, di Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE). FOTO/VIDEO Mahzir Mat Isa
PENGERUSI MyCARE Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, pada sidang media pembunuhan ke atas warga Palestin, Dr Fadi Al-Batsh, di Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE). FOTO/VIDEO Mahzir Mat Isa