GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


SUDAHLAH ‘kantoi’ gagal mencuri, seorang lelaki yang panik melihat kepulangan pemilik rumah memberi alasan masuk ke kediaman itu di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling, kerana ingin menghisap rokok.

Suspek berusia 20-an yang terkejut dengan kepulangan mangsa turut mengacukan pisau sebelum berlaku pergelutan dan dia ditahan hasil bantuan orang awam, petang semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, pemilik rumah berusia 35 tahun itu yang pulang pada mulanya menyedari dua lelaki tidak dikenali berada di hadapan kediamannya.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, pengadu yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian masuk ke dalam rumah sebelum menemui seorang lagi lelaki tidak dikenali berada di bahagian dapur rumahnya.

Beliau berkata, pelik dengan kehadiran suspek, mangsa bertanya apa yang dibuat lelaki itu di dalam rumahnya.

“Suspek memberi alasan masuk ke dalam rumah itu kerana ingin menghisap rokok sebelum dia tiba-tiba terus mengacu pisau ke arah mangsa.

“Mangsa menendang tangan suspek menyebabkan pisau itu terjatuh ke lantai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shariffuddin berkata, suspek kemudian cuba melarikan diri, namun gagal apabila ditahan hasil bantuan dua lelaki yang kebetulan melalui kawasan depan rumah mangsa dengan motosikal.

Beliau berkata, pemilik rumah itu kemudian menghubungi polis yang menahan suspek terbabit dan pemeriksaan menemui sebungkus plastik merah mengandungi potongan wayar elektrik bersama sebilah pisau.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 8:25 PM