PEGAWAI dan anggota polis sedang menyiasat lokasi pekerja kontraktor TM yang maut dirempuh kereta ketika melakukan kerja penyelenggaraan di Jalan Burmah, Georgetown, pagi ini. FOTO ihsan pembaca
PEGAWAI dan anggota polis sedang menyiasat lokasi pekerja kontraktor TM yang maut dirempuh kereta ketika melakukan kerja penyelenggaraan di Jalan Burmah, Georgetown, pagi ini. FOTO ihsan pembaca
Audrey Dermawan


PEKERJA kontrak Telekom Malaysia (TM) yang sedang melakukan kerja penyelenggaraan di Jalan Burmah, Georgetown maut selepas dirempuh kereta, 1.30 pagi hari ini.

Mangsa, Omar Osman, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pemandu kereta Lexus yang merempuh mangsa dipercayai berada dalam pengaruh alkohol ketika memandu.

Katanya, suspek cuba melarikan diri, namun sempat dihalang orang ramai dan rakan mangsa di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati suspek dalam perjalanan menuju ke arah pusat bandar dari Jalan Gottlieb sebelum hilang kawalan.

“Pemandu kereta kemudian melanggar kon keselamatan dan papan amaran sebelum merempuh mangsa yang sedang bekerja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suspek dijangka direman pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 12:28 PM