Mohammad Hamiddan (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan beras yang berjaya dirampas. FOTO Farah Dinah Hassan
Mohammad Hamiddan (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan beras yang berjaya dirampas. FOTO Farah Dinah Hassan
Mohd Sabran Md Sani dan Farah Dinah Hassan

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan cubaan sindiket penyeludupan beras terbesar tahun ini berikutan kejayaan rampasan tiga kontena beras jenis Ponni dengan nilai dan cukai berjumlah RM405,688 di Pelabuhan Pasir Gudang di Johor Bahru, petang kelmarin.

Pengarah Kastam Johor, Mohammad Hamiddan Maryani berkata, tindakan merampas beras terbabit hasil pemeriksaan sembilan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pasir Gudang terhadap kontena itu pada jam 7 petang.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai kastam, Stesen Penguatkuasaan Pasir Gudang menjalankan pemeriksaan terhadap tiga kontena.

"Siasatan awal mendapati kontena ini diikrarkan sebagai 'Putty Powder' berjumlah 2,700 beg dengan muatan sebanyak 67.5 tan, sebaliknya ia komoditi 'Ponni Steamed Rice'," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Bendahara, Menara Kastam Johor di Larkin, petang ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kastam negeri Bahagian Penguatkuasaan Johor, Khasmuri Muhammad dan Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Cawangan Siasatan Frod Perdagangan Johor, Ali Abdullah.

Beliau berkata siasatan mendapati barang dagangan kontena diikrarkan dalam Sistem Maklumat Kastam melalui Borang Kastam 1 (K1) berbeza, selain ia barang larangan import serta memerlukan lesen import.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 6:29 PM