Khairul Najib Asarulah Khan

DEMI mencari peluang pekerjaan, Izzudin Jamaludin, 18, sanggup menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer (km) dari Bota, Perak ke Seremban untuk mencuba nasib dalam program Job Fair di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Ampangan, Seremban, hari ini.

Menurutnya, dia bertolak dari rumahnya ke daerah ini pada jam 8 pagi semalam dengan kereta sebelum tiba tiga jam setengah kemudian dan menginap di hotel.

"Saya datang ke UTC 9 pagi ini dan ingin mencuba nasib disebabkan sebelum ini sudah lebih daripada 10 sesi temuduga saya hadiri, namun gagal memperoleh pekerjaan.

"Saya tidak akan berputus asa mencari kerja kerana tidak mahu terus bergelar penganggur dan ingin membantu ibu ayah yang sudah banyak berkorban.

"Tidak kisah di mana sahaja ada sesi temuduga akan saya cuba untuk menghadirinya," katanya.

SEBAHAGIAN pencari kerja mengunjungi Job Fair di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Ampangan, Seremban, hari ini. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan.
SEBAHAGIAN pencari kerja mengunjungi Job Fair di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Ampangan, Seremban, hari ini. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Kampung Baru negeri Datuk L Manickam berkata, dijangkakan 1,500 orang menghadiri program itu.

"Sehingga jam 11 pagi, 400 orang sudah mendaftar dan terdapat 21 majikan menawarkan 1,340 peluang pekerjaan menerusi program ini.

“Ia membabitkan 508 kekosongan bagi mereka bertaraf pendidikan siswazah dan 832 kekosongan untuk bukan siswazah membabitkan sektor perkilangan, perkhidmatan, perhotelan dan peruncitan. Sesi temuduga bermula daripada 8 pagi sehingga 6 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 5:22 PM