ANGGOTA bomba bersama kakitangan hospital mengeluarkan cincin dan gunting yang melekat pada kemaluan mangsa. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba bersama kakitangan hospital mengeluarkan cincin dan gunting yang melekat pada kemaluan mangsa. FOTO Ihsan JBPM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TINDAKAN lelaki memakai cincin pada kemaluannya mengundang padah apabila terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk memotongnya selepas gagal ditanggalkan, hari ini.

Bukan itu saja, malah kemaluan lelaki, 45, turut tersangkut sebilah gunting yang dipercayai digunakan mangsa untuk memotong sendiri cincin berkenaan.

Selepas usahanya gagal, lelaki itu pergi ke Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang pada 11.30 pagi untuk mendapatkan bantuan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, mangsa mendapatkan bantuan bomba dalam keadaan cincin dan gunting masih melekat pada kemaluannya.

Menurutnya, anggota bomba terpaksa membawa mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana kedudukan cincin yang tidak kelihatan selain bimbang risiko kecederaan lebih serius dialami mangsa.

“Mangsa dibawa ke HUS menggunakan ambulans Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) untuk tindakan lanjut dan bantuan daripada pasukan perubatan.

“Anggota bomba dibantu kakitangan hospital kemudian menggunakan peralatan khas iaitu gerudi angin dan tabung udara bagi mengeluarkan cincin yang tersangkut,” katanya.

Menurutnya, operasi dijalankan berhati-hati kerana mahu mengurangkan risiko kecederaan kepada mangsa.

Katanya, operasi mengeluarkan cincin dan gunting selesai sepenuhnya 25 minit kemudian dan mangsa dilaporkan stabil sebelum diserahkan untuk pemantauan pasukan perubatan HUS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 7:26 PM