Mohd Hafizee Mohd Arop


MAYAT lelaki dalam keadaan terbaring ditemui di dalam hutan berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Jalan Kupang, Gerik, semalam.

Mayat Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24, ditemui orang awam kira-kira 4 petang selepas dipercayai tidak pulang ke rumah sejak empat hari lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, maklumat awal diperoleh daripada hasil temubual dengan keluarga mangsa mendapati mangsa dipercayai keluar untuk memburu di hutan berkenaan.

Katanya, mangsa keluar pada Ahad lalu dan tidak pulang ke rumah sehingga mayatnya ditemui semalam.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.

"Forensik polis juga sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 1:06 PM