AmrullahAbdul Karim


LELAKI yang menunjukkan kemaluannya di kedai menjual pakaian di Jalan Orkid 1B, Bukit Beruntung pagi semalam akan dipanggil untuk siasatan dan rakaman percakapan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK).

"Pengadu yang juga mangsa ada buat laporan semalam mengatakan seorang lelaki menunjukkan kemaluannya tetapi bukan tunjukkan kepada pengadu, namun pengadu berkenaan sudah menarik balik laporannya.

"Kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 509 KK dan suspek akan dipanggil untuk rakaman percakapan," katanya.

Beliau mengulas perkembangan kes membabitkan perbuatan lelaki 20-an yang didakwa menunjukkan kemaluannya kepada jurujual wanita ketika berada di kedai pakaian berkenaan.

Kejadian kira-kira 9.30 pagi itu mengejutkan mangsa yang berusia 24 tahun ketika dia datang ke arah lelaki itu yang berpura-pura mahu membeli seluar.

Mangsa yang terkejut seterusnya memaklumkan perkara itu kepada rakannya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbuatan lelaki berdurasi 10 saat itu turut tular dalam media sosial selepas dimuat naik di Facebook milik seorang daripada jurujual wanita di kedai pakaian itu.

Bagaimanapun, status itu dipadamkan beberapa jam kemudian.

Difahamkan lelaki terbabit turut membuat laporan polis petang semalam berhubung penularan videonya itu.

Berita berkaitan:

'Burung' mengintai dari celah seluar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 3:50 PM