Razif Rosli


KERAJAAN Negeri Perak akan meminta pihak Malaya Historical Group (MHG) dan Jabatan Warisan Negara meneruskan kajian lanjut penemuan kubu perlindungan bawah tanah peninggalan semasa Perang Dunia Kedua berhampiran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh di Ipoh.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri berharap kajian ekskavasi untuk mendedahkan struktur kubu ini dan keluasan sebenarnya termasuk tahun bila ia dibina.

Menurutnya, kajian terbabit perlu dilakukan kerana ia adalah satu penemuan berharga dalam sejarah negara dan berpotensi dijadikan salah satu tempat tarikan pelancong.

"Saya difahamkan berdasarkan kepada pengamatan awal terhadap struktur kubu berkenaan, pihak penyelidik percaya ia digunakan oleh ahli keluarga serta tentera British untuk berlindung semasa serangan udara ketika Perang Dunia Kedua pada tahun 1940 dan 1941.

"Malah ada juga pendapat mengatakan terdapat beberapa kubu lain dan bagi pihak kerajaan negeri, sekiranya ia berpotensi menjadikan tarikan pelancongan maka kita akan bangunkan kawasan ini namun bergantung kepada pengesahan selanjutnya serta kajian lanjutan perlu dijalankan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, demikian selepas meninjau sendiri struktur kubu perlindungan berkenaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 3:41 PM