Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG wanita dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari jejambat menghubungkan Jalan Pantai Dalam dan Jalan Klang Lama, hari ini.

Dalam kejadian 7.51 pagi itu, mangsa dikenali sebagai M Kasturi, 20, terjatuh ke dalam Sungai Klang dari jejambat ketika berada di jejambat berkenaan bersama rakannya.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Mohd Fahmi Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 7.51 pagi dan satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, gerakan mencari dan menyelamat mula dilakukan kita-kira 8 pagi.

Anggota bomba menggunakan kayak bagi mencari wanita berusia 20 tahun yang terjatuh ke dalam Sungai Klang dari atas jejambat menghubungkan Jalan Pantai Dalam dan Jalan Klang Lama, hari ini. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Anggota bomba menggunakan kayak bagi mencari wanita berusia 20 tahun yang terjatuh ke dalam Sungai Klang dari atas jejambat menghubungkan Jalan Pantai Dalam dan Jalan Klang Lama, hari ini. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

“Gerakan mencari dan menyelamat bermula dari kawasan PPR Seri Pantai menggunakan kayak kerana keadaan air di kawasan berkenaan cetek,” katanya.

Sehingga petang ini, mangsa masih belum ditemui.

Menurut Mohd Fahmi, operasi akan diteruskan sehingga ke Bandar Sunway.

“Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh, Pantai dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 5:04 PM