DR Husaini
DR Husaini
HM Digital

Kuala Lumpur: Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Husaini Omar dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baru berkuat kuasa 1 Januari depan.

Pelantikan bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Disember 2020 diumumkan Kementerian Pendidikan Tinggi melalui satu kenyataan semalam.

Dr Husaini dipilih berdasarkan kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian memegang jawatan pentadbiran utama ketika menerajui jawatan di UPM dan jawatan sebelumnya sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, kementerian percaya beliau akan dapat memacu kecemerlangan UMK ke tahap yang lebih tinggi.

Dr Husaini memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam bidang Geologi, Ijazah Sarjana dari University of Leeds, United Kingdom dalam bidang sama dan seterusnya Ijazah Doktor Falsafah dari UPM dalam bidang Kejuruteraan Sistem.

Ketokohan beliau dalam bidang akademik, tadbir urus korporat dan kemampuan memastikan kemampanan kewangan universiti juga turut terserlah apabila berjaya mengenengahkan hasil penyelidikan bagi tujuan pengkomersialan selain turut berjaya membawa UPM Holdings Sdn Bhd menjadi anak syarikat universiti awam terbaik di Malaysia.

Beliau juga menerima pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa seperti WIPO Gold Medal, National Youth Award, National Young Scientist Award, dan Marquis Who’s in Science and Engineering atas kecemerlangan dan kepercayaan institusi antarabangsa terhadap keupayaan beliau.

Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi berharap agar pelantikan ini dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau kepada kecemerlangan UMK dalam mencapai visi dan misi sebagai universiti berfokuskan keusahawanan.

Kementerian Pendidikan Tinggi juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Prof Dr Mortaza Mohamed, mantan Naib Canselor UMK atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UMK mulai 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 6:47 AM