Siraj Mohd Zaini


SUSPEK kes bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Rabu lalu, akan dituduh di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek yang juga orang kurang upaya (OKU) akan dituduh dengan lima pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Kes sudah dirujuk kepada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri dan mendapat arahan untuk dituduh esok.

"Suspek akan dituduh dengan lima pertuduhan kerana membunuh serta mendatangkan kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Azizan Tukiman berkata, teman wanita suspek berusia 30 tahun yang juga anak bongsu pasangan warga emas yang maut itu tidak mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

"Siasatan mendapati wanita yang juga OKU itu tidak tahu mengenai kejadian itu.

"Wanita itu tidak tahu tindakan teman lelakinya yang membunuh dua ibu bapa serta dua anak saudaranya," katanya.

Dalam kejadian 6.30 pagi Rabu lalu, satu keluarga membabitkan dua warga emas dan dua kanak-kanak lelaki maut dipercayai dibunuh dan dibakar.

Mangsa ialah Lim Mai Shak, 68, Chia Tee Nang, 73, dan dua cucu mereka iaitu Chia Yuan Bin dan Ryan Chia Zeng Xi, masing-masing berusia tiga tahun dan 10 tahun.

Berita berkaitan

Suspek dibawa ke lokasi

Suspek bunuh dan bakar ditahan

Mangsa dibunuh sebelum rumah dibakar

Dua budak lelaki antara 4 terbunuh

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 3:43 PM