SUASANA rusuhan pada latihan amal Ex-Undi Persiapan (PER) Menghadapi Pilihanraya Umum Ke-14 dan Pasca PRU (Fasa 4 dan Fasa 5) Peringkat negeri Kedah di Jalan Suka Menanti. FOTO Sharul Hafiz Zam
SUASANA rusuhan pada latihan amal Ex-Undi Persiapan (PER) Menghadapi Pilihanraya Umum Ke-14 dan Pasca PRU (Fasa 4 dan Fasa 5) Peringkat negeri Kedah di Jalan Suka Menanti. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


POLIS Kedah memerlukan 400 anggota polis tambahan dari Bukit Aman bagi membantu melancarkan tugas anggota sedia ada sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14) nanti.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, bantuan yang diperlukan sangat minimum berikutan polis negeri bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang PRU.

Bagaimanapun katanya, 370 anggota polis sukarelawan akan dipanggil bagi membantu tugas tidak kritikal dalam tempoh itu.

"Beberapa keperluan lain termasuk peralatan pertahanan sudah kita minta untuk kegunaan kontinjen Kedah, segala persiapan kita sudah lakukan dan anggota kita berada di tahap persediaan tertinggi bagi tujuan itu.

"Semua anggota sudah mendapat latihan dan diberi kursus khas sama ada dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang ancaman pada PRU tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi latihan EX-UNDI PER 2017 peringkat negeri Kedah di hadapan Maahad Dini Sultan Abdul Halim Jalan Suka Menanti, Alor Setar, hari ini.

Asri berkata, seramai 432 anggota termasuk 108 pegawai dari kontinjen negeri itu menjalani latihan membabitkan lima fasa bermula 9 November lalu dan berakhir hari ini bagi memantapkan lagi tahap siap siaga mereka.

Katanya, menerusi latihan itu beberapa kelemahan dikenal pasti dan perlu diperbaiki agar ia tidak berulang sekiranya situasi sebenar berlaku.

"Kami akan lakukan ‘post mortem’ untuk mantapkan lagi kecekapan anggota kita. Kedah adalah antara negeri yang diramal 'panas', jadi kita perlu dedahkan anggota kita untuk berdepan dengan situasi luar jangka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 9:44 PM