Suspek dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret, Jasin, selepas direman selama empat hari sehingga Sabtu selepas disyaki mencederakan isteri serta dua anaknya menggunakan pisau. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Suspek dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret, Jasin, selepas direman selama empat hari sehingga Sabtu selepas disyaki mencederakan isteri serta dua anaknya menggunakan pisau. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


LELAKI yang mencederakan isteri serta dua anak lelakinya dengan menggunakan pisau, kelmarin, direman empat hari, bermula hari ini.

Perintah reman ke atas lelaki berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Suzanna Mokhtar selepas dia dibawa ke Mahkamah Majistret Jasin, di sini.

Suspek yang memakai baju lokap tiba di perkarangan mahkamah dengan diiringi polis pada 9 pagi sebelum keluar dari kamar mahkamah kira-kira dua jam kemudian.

Suspek direman bermula hari ini sehingga 16 Disember ini, bagi membolehkan siasatan ke atasnya dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Portal Harian Metro semalam melaporkan, seorang lelaki ditahan di hadapan sebuah hotel di Jalan Gajah Behrang semalam, kerana didakwa melibas isteri dan dua anaknya menggunakan sebilah pisau sayur.

Dia yang positif dadah dikatakan berang dengan tindakan isterinya berleter kerana tidak bekerja dan menagih dadah.

Kejadian kira-kira 3 pagi itu mengakibatkan anaknya berusia lima tahun cedera di perut dan anaknya berusia tiga tahun menerima 13 jahitan akibat cedera di tengkuk serta kepala.

Manakala, isterinya pula menerima 17 jahitan selepas cedera di kedua-dua belah lutut, jari dan kepala.

Berita berkaitan

Suami tak guna

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 12:59 PM