LELAKI berusia, 39 dan anaknya berusia 11 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Delima, Kluang Johor kira-kira 8 pagi 20 November lalu. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI berusia, 39 dan anaknya berusia 11 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Delima, Kluang Johor kira-kira 8 pagi 20 November lalu. FOTO Ihsan PDRM
Mohamad Fahd Rahmat


LELAKI dan anak lelakinya dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Delima, Kluang, kira-kira 8 pagi, 20 November lalu.

Nur Ain Nashita Razali, 17, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan ayahnya, Razali Rahman, 39, dan adiknya Muhammad Sarul Iman, 11, pada malam sebelum kejadian.

Katanya, Muhammad Sarul memberitahu hasrat ayah mereka mahu ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan seorang wanita yang dikenali melalui Facebook (FB).

"Ayah mengenali seorang wanita warga Indonesia di FB dan dia kerap meminta ayah wang.

“Saya mengetahui perkara itu selepas terlihat mesej mereka di telefon bimbit ayah. Perempuan itu kononnya mahu berkahwin dengan ayah," katanya.

Nur Ain berkata, keluarganya bimbang dengan keadaan mereka kerana ayahnya disahkan menghidap ketumbuhan dalam otak peringkat kedua sejak April tahun ini selepas diserang sawan.

"Ayah mula sakit sejak Disember lalu apabila diserang sawan kali pertama. Ketika itu, saya dan dia bersiar-siar dengan motosikal berhampiran Kampung Melayu, Kluang pada waktu tengah hari.

"Pada awal tahun ini, ayah diserang sawan lagi sekali hingga kemalangan dan mulutnya berbuih ketika mahu menghantar adik (Muhammad Sarul) ke Sekolah Kebangsaan Sri Intan, Kluang. Mujur dia tidak cedera dalam kemalangan dengan sebuah kereta itu.

"Pada waktu itu, ayah disahkan menghidap ketumbuhan dalam otak apabila dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang dan doktor mahu merujuknya ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, tetapi ayah melarikan diri dari hospital," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nur Ain berkata, pada hari kejadian, ayahnya dipercayai membawa beg sekolah berisi pakaian termasuk milik adiknya.

Katanya, usaha keluarga mencari mereka di merata tempat, termasuk menghubungi nombor telefon bimbit milik ayahnya tidak berjaya.

“Adik rapat dengan ayah dan dia enggan berpisah dengan ayah. Justeru, saya mohon bantuan orang ramai untuk menghubungi saya di talian 0177644657 jika mempunyai maklumat mengenai ayah dan adik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan supaya menghubungi talian 0128758599 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 8:55 PM