Hospital Medan yang didirikan oleh ATM dan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan digunakan bagi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh. FOTO arkib NSTP
Hospital Medan yang didirikan oleh ATM dan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan digunakan bagi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh. FOTO arkib NSTP
Siti A'isyah Sukaimi


SERAMAI 34 pegawai Kementerian Kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlepas ke Bangladesh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam bagi membuat persediaan memulakan operasi Hospital Medan Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, operasi hospital itu diketuai oleh seorang pakar Kementerian Kesihatan serta dibantu oleh anggota kementerian itu dan sukarelawan daripada pelbagai agensi seperti IMAM Response & Relief Team (IMARET), Federation of Islamic Medical Association (FIMA), MERCY Malaysia, Malaysia Relief Agency (MRA), MyCorps dan Humanity Heroes.

"Hospital Medan Malaysia ini akan dikendalikan seramai 50 anggota yang bertugas mengikut giliran.

"Mereka terdiri daripada anggota perubatan dan kesihatan antaranya pakar perubatan, pakar perubatan kesihatan awam, pegawai perubatan, jururawat, pegawai farmasi, juru teknologi makmal dan penolong pegawai kesihatan persekitaran," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, 28 pegawai sudah berlepas ke Cox’s Bazar Bangladesh pada 20 hingga 22 November lalu bagi mendirikan Hospital Medan Malaysia.

"Pasukan itu terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan dan MyCorps manakala, pegawai ATM yang terbabit diberi mandat oleh kerajaan bagi mendirikan hospital ini.

"Bagi menjalankan operasi Hospital Medan Malaysia, ia akan dikendalikan oleh pegawai Kementerian Kesihatan dan sukarelawan NGO," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, hospital berkenaan turut dijadikan kes rujukan akut yang boleh menempatkan pesakit antara 30 hingga 50 katil, jadi Kementerian Kesihatan dengan kerjasama ATM dan NGO membuat persiapan sewajarnya bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata, misi bantuan itu mendapat kerjasama penghantaran peralatan perubatan, peralatan bukan perubatan, ubat dan lain-lain keperluan ke Cox’s Bazar melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh MAS Kargo dan Syarikat Pharmaniaga.

"Kolaborasi serta hubungan kerjasama rapat antara Kementerian Kesihatan dengan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan membantu melicinkan urusan menubuhkan hospital ini.

“Justeru, Kementerian Kesihatan mengucapkan setinggi penghargaan terhadap kerjasama daripada pihak ATM dan sukarelawan yang sentiasa bersama bagi memastikan misi bantuan ini berjaya dilaksanakan.

"Petugas ini adalah duta negara di Bangladesh dan Kementerian Kesihatan sememangnya sangat menghargai dan berbangga dengan pembabitan mereka secara sukarela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 3:23 PM