MOHAMMAD Hafif Mohammad Izham, 9, melihat dapur rumah jirannya yang dimasuki air banjir di Kampung Belukar, Changlun. FOTO Amran Hamid
MOHAMMAD Hafif Mohammad Izham, 9, melihat dapur rumah jirannya yang dimasuki air banjir di Kampung Belukar, Changlun. FOTO Amran Hamid
Zuliaty Zulkiffli


JUMLAH mangsa banjir di Kubang Pasu terus meningkat apabila empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak semalam yang menempatkan 496 mangsa daripada 109 keluarga di dua mukim.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, setakat 8 pagi hari ini jumlah mangsa di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun meningkat kepada 235 orang membabitkan 59 keluarga berbanding 210 orang semalam.

Beliau berkata, PPS Surau Kampung Betong pula dibuka pada 2.30 petang semalam menempatkan 94 orang daripada 18 keluarga.

"Dalam pada itu, PPS Surau Kampung Tebing pula dibuka pada 4 petang semalam yang menempatkan 67 mangsa daripada 17 keluarga manakala di PPS Kampung Lahar yang beroperasi bermula 11 malam tadi dan kini diduduki 100 mangsa daripada 22 keluarga.

"Peningkatan jumlah mangsa banjir ini berikutan hujan petang semalam selain paras air yang masih meningkat di kawasan rendah.

"Berikutan itu kita menasihatkan penduduk yang rumah mereka dinaiki air supaya menghubungi pasukan penyelamat atau penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berhampiran untuk membolehkan mereka berpindah dengan segera," katanya.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 10:37 AM