Hayati Ibrahim


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat permohonan reman terhadap seorang wanita warga Vietnam bergelar Datuk di Mahkamah Majistret Putrajaya esok.

Sumber berkata, permohonan reman itu dibuat untuk menjalankan proses siasatan terhadap wanita terbabit yang dalang utama kegiatan pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Katanya, wanita berkenaan dipercayai memberikan wang rasuah berjumlah RM890,000 melalui likabtransaksi sepanjang tahun ini kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai balasan untuk bot Vietnamyang ditahan oleh agensi itu di perairan Malaysia atas beberapa kesalahan.

"Selain itu, siasatan juga untuk mengenalpasti dan menjalankan siasatan lanjut terhadap pemilik bot yang dilepaskan selain siasatan berhubung pemilikan nombor pendaftaran bot yang dipalsukan.

"Siasatan lain termasuk mngenal pasti rangkaian perhubungan antara saksi awam dan ejen kerajaan yang bersekongkol dengan wanita berkenaan.

Menurut sumber, wanita berusia 41 tahun itu ditahan semula di SPRM Pahang, jam 12.10 tengah hari tadi, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan perkara itu.

Pada 6 November lalu, Ketua PesuruhjayaSPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Maritim Malaysia Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar mendedahkan 22 individu termasuk seorang wanita warganegara Vietnam bergelar 'Datuk' ditahan dalam satu operasi secara besar-besaran dikenali Ops Armada agi membongkar isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Operasi dijalankan menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu dilaksanakan di Pahang, Terengganu, Sarawak, Sabah dan Labuan.

Beliau dipetik berkata, dalam operasi itu, enam penjawat awam termasuk lima anggota APMM dan seorang kakitangan Jabatan Perikanan turut ditahan.

Wang tunai RM1.9 juta dirampas dan 44 akaun bank berjumlah RM2 juta dibekukan.

Dzulkifli dipetik berkata, ada tiga modus operandi pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara iaitu sama ada masuk secara terus, menggunakan bot dengan nombor pendaftaran klon selain meletakkan bendera Malaysia dan ketiga ialah menggunakan permit nelayan tempatan disalahgunakan dengan sedikit bayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 8:47 PM